Isnin, 23 Januari 2017

Mohon bantu Puan Halipah

Assalamualaikum dan salam sejahtera gengs!

Puan Halipah menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung serta tidak dapat bergerak ekoran lututnya yang cedera itu, kini dijaga anak tunggalnya, Hisham Md. Sharip, 41, yang terpaksa berhenti kerja sejak kematian bapanya kerana perlu menguruskan ibunya.

Halipah Ahmad
(Sumber gambar: http://www.utusan.com.my)

Sesiapa yang ingin membantu boleh me­­n­yalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Halipah Ahmad bernombor 14153023172580. Semoga sumbangan kita mendapat balasan daripada Allah.

Berikut petikan berita online Utusan Malaysia.

"Berkunjung ke rumah Halipah Ahmad, 68, yang terletak di Projek Perumahan Rakyat Seri Alam, Jalan Istana Lama, Kuala Lumpur baru-baru ini, sangat meruntun hati apabila melihat warga emas itu hanya terbaring di atas sofa usang dengan kusyen nipis sebagai penahan badan.
Lantai pula tidak berlapik tikar getah, hanya simen batu yang sejuk mengalas kakinya. Keadaan rumahnya juga tidak terurus sejak lima bulan lalu selepas kematian suaminya, Md. Sharip Mahmud secara mengejut.
Wanita yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung serta tidak dapat bergerak ekoran lututnya cedera itu, kini dijaga anak tunggalnya, Hisham Md. Sharip, 41, yang terpaksa berhenti kerja sejak kematian bapanya kerana perlu menguruskan ibunya.
Hisham, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat mengurut di Jalan Pudu, tiada pilihan lain terpaksa menjaga ibunya yang kini tidak mampu menguruskan diri apabila bukan sahaja tidak dapat bergerak, malah sering mengalami kekejangan akibat penyakit kencing manis yang dihidapi.
Halipah juga sering mengalami muntah-muntah dan cirit-birit serta mudah pengsan. Dia sering berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Hisham, sejak berusia 15 tahun lagi dia sudah terbiasa menguruskan orang tuanya itu apabila perlu menjaga Halipah di hospital sehingga kesihatan dirinya kadangkala terabai.
Akuinya, sejak kematian bapa, keadaan semakin sukar kerana tiada orang dapat menjaga ibu jika dia mahu keluar bekerja.
Mahu tidak mahu dia terpaksa berhenti kerja menyebabkan dua beranak itu terputus sumber pendapatan.
“Sejak ayah meninggal, kami memang terputus duit kerana saya tidak bekerja, malah duit simpanan yang ada juga sudah habis digunakan untuk merawat emak. Boleh dikatakan setiap bulan saya perlu membawa emak ke hospital.
“Jangan kata untuk beli ubat, makan pun kadang-kadang tidak cukup. Saya terpaksa menebalkan muka meminjam daripada rakan-rakan, mujur mereka faham situasi yang saya tanggung,” jelasnya yang turut menghidap asma.
Oleh kerana tidak cukup wang, Hisham mengakui dia tidak membeli sebarang ubat asma untuk kegunaannya kerana duit yang diperoleh lazimnya digunakan sebaiknya untuk rawatan Halipah.
Bimbang meninggalkan bersendirian, Hisham tetap berharap dapat menggunakan kemahirannya dalam mengurut dengan bekerja dari rumah.
“Memang sayang kalau kemahiran yang ada tidak digunakan tetapi saya tiada pilihan. Jika ada yang dapat membantu menyediakan kelengkapan mengurut tradisional di rumah, saya amat mengalu-alukan lagipun di rumah ini ada bilik kosong yang boleh dijadikan sebagai ruang untuk mengurut,” jelasnya yang mengakui sewa rumah yang diduduki juga telah tertunggak sejak lima bulan lalu.
Dalam pada itu, Hisham berharap ada individu yang dapat menyumbang sebuah katil mudah alih dan mudah lentur untuk kegunaan ibunya agar lebih selesa.
“Sekarang ibu hanya baring atas sofa dan dia tidak selesa kerana kusyen nipis, jika ada yang mahu beri sumbangan katil mudah alih itu, saya amat berterima kasih.
“Saya memang tidak mampu untuk menyewa atau membelinya kerana duit untuk beli makanan harian pun tidak cukup,” ujarnya sayu.
Ketika ini, dua beranak ini hanya bergantung harap dengan sumbangan Baitulmal sebanyak RM200 selain bantuan beras, tepung dan gula setiap bulan."
Boleh terus ke link berita tersebut. Klik di sini.

Adios.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan