Sabtu, 22 April 2017

Mohon bantu En Rosli derita bengkak hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera gengs!

En Rosli Ismail, 51, menghidap penyakit bengkak hati sejak 2015 lagi dan tidak berupaya untuk meneruskan kerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) seperti biasa. Isteri beliau pula terpaksa berhenti kerja dan hanya mengambil upah menjahit baju.

En Rosli Ismail
(Sumber gambar: http://www.utusan.com.my)

Sesiapa yang ingin membantu boleh me­­n­yalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Rosli Ismail bernombor 011-56290-00-073960. Semoga sumbangan kita mendapat balasan daripada Allah.

Berikut petikan berita online Utusan Malaysia.
"MUAR 20 April - “Saya mahu kembali pulih dan meneruskan kerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) seperti biasa selepas dua tahun tidak dapat menyarung uniform akibat terlantar sakit dan lebih-lebih lagi apabila rakan-rakan sekerja juga mengharapkan saya bertugas bersama-sama mereka semula.”

Demikian semangat yang ditunjukkan Rosli Ismail, 51, berikutan dia kini tidak mampu melaksanakan tugasnya akibat menderita penyakit bengkak hati sejak 2015.

Bapa kepada enam anak itu tidak berupaya untuk bekerja sebagai anggota Rela sepenuh masa lagi memandangkan perutnya semakin hari semakin membesar akibat penyakit tersebut.

Penyakit yang dialami itu menyebabkan Rosli susah untuk berjalan walaupun untuk beberapa langkah malah dia juga sukar untuk berbuat apa-apa kerja di rumah walaupun mengangkat barang yang kecil.

“Sejak mengalami penyakit ini, saya tidak boleh bekerja ke­­­rana keadaan jantung mudah penat, perkara paling se­nang seperti mengambil barang di tempat tinggi pun, sa­ya tidak mampu lakukan,” kata­nya ketika meneri­ma kunjungan wakil Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) dan Persatuan Kebajikan Anak Jati Muar (PKAJM) di Sungai Abong, di sini hari ini.

Rosli berkata, pembedahan pertama yang dilakukan awal bulan ini telah mengembalikan keadaan perutnya yang normal dan boleh bergerak dengan selesa, namun masih belum pulih sepenuhnya dan dijangka akan menjalani pembedahan seterus­nya Julai depan.

Ekoran keadaan itu, Rosli kini terpaksa bergantung harap kepada isterinya, Siti Norashimayati Ahmad, 38, yang mengambil upah menjahit baju selepas terpaksa berhenti kerja sebagai kerani kilang bagi memberi tumpuan kepadanya.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai anggota Rela dapatlah pendapatan sekitar RM300 sebulan dan jumlah itu pun dirasakan tidak mencukupi me­mandangkan kesemua ke­perluan anak yang empat daripadanya masih bersekolah perlu diberi perhatian.

“Semasa isteri saya bekerja dulu, dapatlah menampung serba sedikit perbelanjaan kami selepas saya tidak lagi bekerja, tetapi kini, isteri pun terpaksa berhenti kerja dan mengikuti kursus jahitan kerana mahu mengambil upah menjahit di rumah semata-mata selepas tahap kesihatan saya mulai teruk,” katanya.

Bagaimanapun, Rosli bersyukur apabila kesemua anak-anaknya memahami keadaan mereka sekeluarga walaupun kadang-kala pergi ke sekolah tanpa wang belanja dan hanya berpeluang menikmati makanan sebaik pulang ke rumah.

“Alhamdulillah, masih ramai yang membantu kami sepanjang kesukaran ini termasuk tuan rumah yang tidak mengenakan sewa, jiran tetangga yang meng­hulurkan makanan dan keperluan asas serta pelbagai pihak lagi,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi akaun 011-56290-00-073960 atas nama Rosli."
Boleh terus ke link berita tersebut. Klik di sini.

Adios.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan